Search

5 rumah, 4 premis termasuk taska musnah dalam kebakaran

March 6, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Lima rumah serta empat premis termasuk sebuah taska musnah dalam kebakaran di Kampung Air di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, sebuah lagi rumah turut terjejas apabila terbakar kira-kira 10 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.43 petang.

Katanya, sepasukan 24 anggota bomba bersama lima jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman.

“Operasi pemadaman membabitkan anggota BBP Semporna dengan bantuan BBP Air Semporna dan BBP Kunak.

“Kebakaran melibatkan lima rumah jenis tidak kekal yang terbakar 100 peratus manakala sebuah lagi rumah terbakar kira-kira 10 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kebakaran itu turut memusnahkan empat premis iaitu kedai runcit, kedai makan, kedai bundle serta sebuah bangunan Taska ABIM yang tidak lagi beroperasi sejak 2017.

Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 600 kaki dengan empat pancutan air daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.51 petang dan tiada mangsa dilaporkan terbabit,” katanya.

Rastam berkata, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 50 rumah berhampiran daripada turut terbakar.

“Operasi memadam sisa bara masih dijalankan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.