PENAMPANG: Seorang remaja perempuan diselamatkan anggota bomba daripada cubaan terjun dari tingkat lima sebuah pusat beli belah di Donggongon, di sini, petang ini.
Dalam kejadian kira-kira 5.10 petang itu, remaja perempuan berusia 17 tahun dilihat berdiri di luar bangunan sebelum orang awam yang menyedari tindakannya segera menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.19 petang sebelum sepasukan enam anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira 5.22 petang dan mendapati mangsa berada di tingkat lima bangunan berkenaan dipercayai cuba terjun.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan usaha memujuk mangsa dan mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum remaja terbabit berjaya ditenangkan.
“Operasi berjaya dikawal pada 5.45 petang dan mangsa berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, operasi itu turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keadaan di lokasi terkawal. – Info X