MEMBAKUT: Seramai 18 mangsa daripada lima keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Baitam, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohamad Hasbullah Nenggok berkata, kebakaran membabitkan lima rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya ketika ketibaan jentera.
“Bomba menerima panggilan 11.31 pagi dan seramai 14 pegawai dan anggota dari BBP Beaufort dan Kimanis digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan berkenaan.
“Sebaik tiba, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran dua pancutan dari sumber air sungai dan jentera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit.
“Operasi terkawal pada 1.15 tengah hari dan operasi ditamatkan sepenuhnya 20 minit kemudian.
“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian serta jumlah kerugian yang ditanggung mangsa,” katanya. – Info X