Search

Hina Islam di Facebook, sembilan NGO lapor polis

November 22, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sembilan badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap seorang individu yang didakwa menghina agama Islam di laman sosial Facebook.

NGO berkenaan iaitu Persatuan Muafakat Anak Bangsa Sabah (PMAB); Permuafakatan Anak Rumpun Sabah (ARAS); Pertubuhan Gerakkan Minda Anak Sabah (MINDA); Pertubuhan Perpaduan Permuafakatan Peranakan Suluk Bajau Sabah; Persatuan Sahabat Borneo Kental Truckers; PEKIDA Sabah; Bakti Sabah; Pelayaran dan Persb, membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu, petang tadi.

Penanung PMAB Sabah, Ismail Sabran berkata, pihaknya bersama lapan lagi NGO lain terpanggil membuat laporan polis selepas mengesan komen negatif daripada salah seorang pengguna media sosial di laman Facebook.

“Komen berbaur penghinaan terhadap agama Islam serta Allah SWT dikesan semakin menjadi-jadi dan menimbulkan kebencian kepada agama Islam.

“Perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan kerana bukan sahaja menjejaskan imej agama Islam itu sendiri tetapi memberi impak negatif terhadap keharmonian kaum serta budaya yang ada di Sabah.

“Sepertimana yang diketahui umum, Sabah adalah negeri yang mempunyai penduduk berbilang kaum serta agama tetapi mampu hidup harmoni antara satu sama lain, jadi kita tidak mahu tindakan daripada pengguna ini merosakkan suasama aman dan damai di Sabah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, perkara ini sudah dibiarkan berlanjutan dalam tempoh agak lama, bagaimanapun keadaan ini semakin teruk dan ia perlu dihentikan melalui tindakan undang-undang.

“Kita memohon pihak polis untuk mengambil tindakan sekerasnya terhadap pelaku terbabit bagi memastikan ia menjadi pengajaran dan tiada lagi kelakuan sama berlaku pada masa hadapan.

Ismail (lima dari kanan) bersama Anwar (enam dari kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu.

“Pada masa sama, kita juga menunaikan tanggungjawab sebagai orang Islam yang perlu mempertahankan agama selain memastikan keharmonian di Sabah kekal terjamin,” katanya.

Sementara itu, Presiden MINDA, Anwar Hamzah berkata, pihaknya memang sudah berurusan dengan isu ini lebih lama dan beberapa daripadanya sudah diselesaikan.

Beliau bagaimanapun berkata, terdapat beberapa komen bersifat keras dan kesat yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh orang Sabah.

“Kita lihat beberapa pihak juga memberi sokongan agar perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku di Sabah dan kita terkilan apabila kenyataan seumpama ini dikeluarkan oleh orang Sabah yang dikenali dengan rakyat berbilang bangsa serta agama.

“Dipercayai wujudnya kekeliruan dan saya bimbang terdapat unsur anasir luar yang dibawa ke sini menyebabkan keharmonian Sabah turut terjejas.

“Kami setegasnya menolak unsur negatif sebegini dan tekad membawa perkara ini dengan merujuk tindakan undang-undang seiring dengan Malaysia sebagai negara yang mempunyai sistem perlembagaan,” katanya.

Beliau juga menasihatkan pengguna media sosial terutama anak muda agar tidak mengeluarkan komen mengikut emosi sehingga menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.

“Rakan-rakan perlu berhati-hati memberi komen kerana bukan sahaja rakyat Sabah yang melihat tetapi seluruh dunia dan ia memperlihatkan Sabah tidak mempunyai lambang perpaduan.

“Sepertimana yang dibawakan dalam kerajaan Malaysia Madani iaitu usaha mempertahankan perpaduan berulang kali, kitalah lambang kitalah duta dan jangan rosakkan perpaduan ini terutama di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, pihak NGO persendirian daripada golongan bukan beragama Islam, Jerald Geoffrey turut memberikan pendapat sama dan beliau sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan daripada pengguna media sosial terbabit.

“Saya menentang sekeras-kerasnya berhubung kenyataan yang dikeluarkan di dalam Facebook dan kita sudah mengambil tindakan tepat dengan membuat laporan polis agar tindakan ini dapat dihentikan sebelum berlakunya perkara lebih teruk.

“Jagalah keharmonian di Sabah dan jangan disebabkan emosi daripada diri sendiri itu menyebabkan suatu keadaan pecah belah di Sabah,” katanya. – Info X