KOTA KINABALU: Pelbagai barangan bernilai RM365,000 membabitkan 11 kes dilupuskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah di Stor Ekshibit KPDN, di sini, hari ini.
Timbalan Pengarah KPDN Sabah, Zulfamy Mat Udi berkata, pelupusan itu dilaksanakan sekali dalam tempoh setahun membabitkan pelbagai barangan tiruan.
“Antaranya pakaian sukan, kasut, selipar, beg, jam tangan, minyak wangi, syampu, pisay cukur, cakera padat dan pemacu pena atau pendrive.
“Semua barangan yang dilupuskan adalah hasil daripada 11 kes yang sudah diselesaikan dan didapati bersalah mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Zulfamy yang juga Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sabah berkata, barangan ini juga diperoleh daripada kira-kira 20 premis sekitar Kota Kinabalu dengan rampasab baju jersi paling banyaj bernilai RM233,000.
Katanya, pelupusan barangan membabitkan beberapa kaedah iaitu dengan cara memusnahkan barangan hasil cetak rompak dan barangan tiruan.
“Bagi barangan yang menepati spesifikasi akan didermakan kepada pihak memerlukan seperti anak yatim sebaik melalui beberapa prosedur.
“Terdapat juga barangan rampasan akan dikembalikan kepada pemilik sebaik pihak peniaga mempunyai lesen yang sah,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tahun ini, KPDN Sabah berjaya melaksanakan 18 siri pelupusan dengan nilai ekshibit sebanyak RM1,045,644.65 dan RM396,998.07 daripada jumlah itu dijadikan hasil kerajaan.
“Setakat Januari sehingga 21 November, KPDN Sabah berjaya melaksanakan 70,335 pemeriksaan di premis seluruh Sabah.
“Hasil pemeriksaan berjaya menghasilkan 1,096 kes membabitkan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

“Kita juga mencatatkan nilai kompaun sebanyak RM485,800, diikuti nilai rampasan sebanyak RM5,941,181.81 dan nilai denda sebanyak RM123,000.00,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata bagi memastikan kepentingan pengguna terus dipelihara, KPDN akan sentiasa meningkatkan penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas dan adil terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan kementerian.
Katanya, tindakan ini juga mampu mewujudkan suasana perniagaan yang adil dan kondusif.
“Peniaga diingatkan supaya lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.
“Pengguna juga dinasihati supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya.
“KPDN sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan berkaitan salah laku peniaga dengan menyalurkan aduan menerusi saluran Whatsapp di talian 019-279 4317 atau 019-848 8000, portal aduan e-aduan.kpdn.gov.my serta menghantar surat rasmi ke pejabat KPDN yang berdekatan dan bilik gerakan KPDN negeri,” katanya. – Info X