Search

500 pelajar sekolah menengah menjadi “Duta Keselamatan” di Labuan

July 24, 2026

Info X Reporters

LABUAN: Seramai 500 pelajar Tingkatan Tiga daripada 11 sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan menyertai Kempen Kesedaran Keselamatan “Let’s Be Safe” bagi memupuk budaya keselamatan dalam kalangan generasi muda.

Program tajaan penuh syarikat minyak dan gas Hibiscus Petroleum itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan di Desa Tunas Hijau.

Para pelajar mempelajari cara menggunakan alat pemadam api semasa demonstrasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepentingan keselamatan diri ketika mereka semakin berdikari dalam kehidupan seharian.

Seorang jurulatih tunggangan (berdiri kiri) menyampaikan ceramah mengenai tunggangan motosikal secara selamat.

Sepanjang program, para pelajar mengikuti demonstrasi dan ceramah yang memberi penekanan kepada keselamatan diri, pencegahan kemalangan serta kesedaran terhadap pelbagai risiko di alam fizikal dan dalam talian.

Para pelajar menyertai kuiz Kahoot! yang berasaskan pembelajaran mereka sepanjang kempen.

Antara pengisian utama ialah demonstrasi kebakaran dan penunggangan motosikal secara selamat, ceramah mengenai keselamatan media sosial yang menyentuh isu buli siber, buli fizikal dan penipuan dalam talian, serta perkongsian mengenai keselamatan kebakaran dan kesiapsiagaan menghadapi banjir.

Kempen ini membawa mesej bahawa keselamatan merupakan amalan sepanjang hayat dan setiap individu perlu sentiasa peka terhadap risiko di rumah, sekolah, tempat awam mahupun alam maya, di samping mengambil langkah proaktif untuk melindungi diri sendiri dan orang di sekeliling mereka.

Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Yahya bin Ahmad Puteh berkata kejayaan penganjuran kempen itu membuktikan bahawa kerjasama erat antara Jabatan Pendidikan WP Labuan, agensi kerajaan dan sektor korporat amat penting dalam memperkasa pembangunan murid secara menyeluruh.

Pengurus Loji Terminal Minyak Mentah Labuan (LCOT) Hibiscus Petroleum, Sylvester Untin (kanan) menyampaikan plak penghargaan kepada Pengarah Pendidikan Labuan, Yahya bin Ahmad Puteh semasa majlis penutup.

Beliau berkata usaha itu selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia yang menggalakkan sinergi bersama semua pihak berkepentingan.

“Pendidikan bukan sekadar memberi penekanan kepada aspek akademik dan kognitif, malah murid juga perlu didedahkan kepada kemahiran serta nilai yang dekat dengan kehidupan seharian mereka, termasuk aspek keselamatan.

“Soal keselamatan tidak boleh dikompromi kerana setiap daripada kita sentiasa berdepan pelbagai risiko dalam kehidupan,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Hibiscus Petroleum, PDRM dan JBPM Labuan atas komitmen menjayakan program ini.

Pengurus Loji Terminal Minyak Mentah Labuan (LCOT) Hibiscus Petroleum, Sylvester Untin (lima dari kanan) menyampaikan hadiah kepada sekolah pemenang kuiz Kahoot!.

Pengurus Loji Terminal Minyak Mentah Labuan Hibiscus Petroleum, Sylvester Untin berkata kempen itu mencerminkan komitmen syarikat dalam meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan generasi muda melalui perkongsian ilmu dan panduan keselamatan, yang menjadi keutamaan dalam operasi harian Hibiscus Petroleum.

“Kempen ini bertujuan memperkasakan pelajar dengan ilmu dan kesedaran untuk membuat keputusan yang selamat serta bertanggungjawab dalam kehidupan seharian, khususnya berkaitan keselamatan media sosial, penunggangan motosikal, kebakaran dan banjir.

“Tahniah kepada semua peserta. Mulai hari ini, anda ialah duta keselamatan. Amalkan segala tip dan panduan yang dipelajari hari ini serta kongsikan ilmu tersebut kepada keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Seramai 500 orang pelajar menyertai Kempen Keselamatan “Let’s Be Safe” tajaan Hibiscus Petroleum di Desa Tunas Hijau, Labuan pada hari Khamis.

Program itu melibatkan penyertaan pelajar daripada SMK Lajau, SMK Pantai, SMK Labuan, SMK Taman Perumahan Bedaun, SMK Rancha-Rancha, SM St. Anne, SM St. Anthony, SM Sains Labuan, SMK Mutiara, SMA MAIWP Labuan dan Kolej Vokasional Labuan.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Mohamad Pindut dan Eksekutif Kanan Perhubungan Komuniti dan Kerajaan Hibiscus Petroleum, Durie Rainer Fong.- Info X