Search

Dua ahli korporat syarikat beroperasi di Sabah raih anugerah berprestij Golden Bull Awards 2026

July 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua ahli korporat sebuah syarikat tempatan bertaraf antarabangsa, di sini, menempa kejayaan dalam dunia korporat di peringkat kebangsaan apabila meraih anugerah berprestij Golden Bull Awards 2026 pada majlis penganugerahan yang berlangsung di ibu negara, malam tadi.

Anugerah itu menjadikan kedua-dua mereka, Datuk Seri Mossco Woo Chin Teck dan Subha Sathiamoorthy Maraiah yang kini menerajui sebuah syarikat tempatan sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif satu kebanggaan bukan saja kepada syarikat, malah dunia korporat di Sabah.

Syarikat bertaraf antarabangsa yang diterajui mereka terbabit dalam operasi yang merangkumi sektor pembinaan, tenaga, minyak dan gas, tenaga boleh diperbaharui, telekomunikasi, infrastruktur serta perlombongan di Kelantan dan Sabah.

Sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan kepimpinan serta sumbangan mereka kepada industri, Datuk Seri Mossco menerima Super Golden Bull Award 2026, manakala Subha dinobatkan sebagai penerima Golden Bull Inspirational Entrepreneur Award 2026 pada majlis Golden Bull Awards 2026.

Majlis penganugerahan itu disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.

Berkongsi rahsia kejayaannya, Mossco berkata kepercayaan sepenuhnya terhadap rakan kongsi, komitmen tinggi serta dedikasi dalam setiap tugasan menjadi asas kepada pencapaian syarikat.

“Matlamat kami pada masa depan adalah untuk menjadi sebuah lagi syarikat Malaysia yang tersenarai dalam World Fortune 500 companies,” katanya.

Sementara itu, Subha berkata kejayaan syarikat didorong oleh budaya kerja yang berteraskan perancangan strategik, selain sentiasa mengutamakan inovasi dan penerapan teknologi baharu.

“Mantra kami mudah, plan your work and work your plan. Kami sentiasa dahagakan inovasi, teknologi baharu dan mahu terus bergerak ke hadapan,” katanya kepada pemberita.

Mengulas mengenai perancangan masa depan syarikat, mereka berkata fokus utama adalah untuk menerajui pembangunan teknologi telekomunikasi dan infrastruktur di Sabah, di samping memperluaskan pelaksanaan projek tenaga hijau serta rangkaian gentian optik menerusi kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Sabah.

Pada masa sama, syarikat itu turut bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan dalam pembangunan sebuah makmal ujian perlombongan khas bagi unsur nadir bumi (REE) dan emas.

Menurut mereka, makmal tersebut dijangka menjadi yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang dilengkapi Prosedur Operasi Standard (SOP) khusus bagi ujian unsur nadir bumi (REE).

“Makmal ujian di Kelantan ini bakal menjadi yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang mempunyai SOP khas bagi ujian REE. Ini merupakan satu pencapaian yang amat kami banggakan,” katanya.

Kejayaan yang dikecapi oleh Mossco dan Subha membuktikan bahawa latar belakang bukanlah penentu masa depan seseorang. Sebaliknya, usaha gigih, kepimpinan berwawasan dan semangat berpasukan mampu membuka jalan ke arah kejayaan.

Dengan latar belakang berasal dari keluarga sederhana, mereka membuktikan mampu berjaya dalam dunia korporat sehingga mendapat pengiktirafan berprestij hasil kegigihan usaha dan komitmen terhadap pembangunan syarikat dalam industri yang diceburi.

Mereka juga diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk berani menceburi bidang keusahawanan dan korporat, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, merangsang pertumbuhan ekonomi serta menyumbang kepada pembangunan negara. – Info X