PUTATAN: Seramai 500 pelatih dari Sabah akan diambil bagi mengikuti Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di China menerusi tawaran diberikan kepada pelajar dari Malaysia untuk mendalami bidang itu di negara berkenaan.
Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Cawangan UMNO Sabah dan Jamuan Aidilfitri UMNO Putatan, di sini, malam tadi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah jumlah itu adalah sebahagian daripada 2,000 tempat disediakan di institut TVET di China pada tahun ini seperti ditawar menerusi penubuhan Malaysia – China Institute (MCI), baru-baru ini.
Jelasnya, Sabah memerlukan tenaga mahir dalam pelbagai bidang TVET, khususnya yang berasaskan teknologi tinggi bagi memenuhi keperluan industri dan kehendak pelabur yang datang ke negeri ini.
“Saya selaku Pengerusi TVET negara akan memastikan generasi muda Sabah diberikan latihan TVET untuk memenuhi keperluan kerja berdasarkan teknologi tinggi dalam industri di negeri ini.
“Apa yang kita mahu MCIyang ditubuhkan pihak MARA menyamai German – Malaysia Institute (GMI) dimanfaatkan sepenuhnya dan saya diminta oleh China untuk menghantar 2,000 pelajar TVET ke negara itu dengan diberi biasiswa.
“Saya akan pastikan 500 daripada jumlah itu datang dari Sabah dan ini saya akan selaraskan dengan rakan bahagian (UMNO) di Sabah,” katanya.
Yang turut hadir ialah Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin; Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir dan Ketua UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohamad.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, Ketua Bahagian UMNO yang dilantik sebagai Pengerusi Giat MARA perlu menggunakan peluang itu untuk memperkasa generasi muda dengan latihan kemahiran dalam bidang TVET.
Sebelum ini, beberapa institut TVET di China menyatakan komitmen terhadap penubuhan MCI dengan menawarkan sebanyak 2,000 kuota latihan bagi meningkatkan kemahiran pelajar TVET dari Malaysia sepanjang tahun ini.
Kuota latihan ditawarkan dalam pelbagai bidang khususnya berkaitan Kenderaan Elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT), solar, teknologi maklumat dan pemesinan. – Info X