Search

Persidangan DUN Sabah dijangka panas

April 21, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 yang bermula esok dijangka panas berikutan pelbagai isu yang dibangkitkan pembangkang sejak kebelakangan ini.

Antara isu yang dijangka dibangkitkan, khususnya sepanjang sesi soal jawab lisan dan perbahasan termasuk berkaitan bekalan air, kemarau, elektrik dan masalah perhubungan, khususnya jalan raya.

Turut dijangka menarik perhatian ialah soal keterjaminan makanan, kos sara hidup rakyat, isu kemiskinan dan pencapaian kerajaan negeri, khususnya yang berkaitan dengan hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Sebelum ini, pembangkang menimbulkan isu pencapaian kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan mendakwa tiada apa yang dapat dilihat selain papan tanda SMJ sejak kira-kira tiga tahun pelan itu dilancarkan.

Pada Ramadan lalu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menyatakan bahawa beliau akan membangkitkan soal pencapaian kerajaan negeri pada persidangan DUN kali ini.

Perkara itu katanya berikutan pelbagai rungutan rakyat berkaitan masalah yang dihadapi mereka seperti gangguan bekalan air dan elektrik serta kerosakan jalan raya yang tidak selari dengan slogan SMJ dilaungkan kerajaan negeri.

Katanya, beliau mahu bertanya pada persidangan DUN itu nanti jika ada pencapaian yang belum diketahui selain usaha dilaksanakan kerajaan untuk menyelesaikan isu yang dihadapi rakyat Sabah ketika ini.

Bung Moktar sebelum ini disifatkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai ketinggalan zaman berikutan pertanyaan dan kritikannya mengenai apa pencapaian dan usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri selama ini.

Selain Bung Moktar, kerajaan negeri juga menerima pelbagai kritikan daripada pemimpin Parti Warisan yang turut membangkitkan soal pencapaian, isu SMJ, kemiskinan, bekalan air dan pelbagai lagi perkara yang dikaitkan dengan tanggungjawab kerajaan negeri.

Berikutan itu, persidangan DUN yang bermula esok hingga Khamis depan dijangka ‘panas’ dengan pelbagai soalan ‘pedas’ daripada pembangkang, khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Warisan.

Perbahasan ADUN sepanjang persidangan itu juga dijangka menyentuh pelbagai perkara yang disebut Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dalam Ucapan Dasar Kerajaan yang disampaikannya ketika istiadat pembukaan DUN pada Khamis lalu. – Info X