Search

54 warga asing ditahan dalam Ops Sapu di Sipitang, Semporna

May 15, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Seramai 54 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan Ops Sapu dan Ops Kutip yang dijalankan di Sipitang serta Semporna, semalam.

Dalam operasi itu, kebanyakan warga asing yang ditahan dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah dan melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Di Sipitang, operasi yang dijalankan memeriksa seramai 68 individu sebelum menahan 50 warga asing membabitkan 14 lelaki dewasa warga Filipina, 12 wanita dewasa, 10 kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak perempuan.

Turut ditahan dua lelaki dewasa warga Pakistan.

Sementara itu di Semporna, Ops Sapu dan Ops Kutip yang dijalankan memeriksa enam individu dengan empat lelaki warga Pakistan turut ditahan atas kesalahan imigresen.

JIM Sabah dalam kenyataan hari ini berkata, semua warga asing yang ditahan dibawa ke depot tahanan imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

“JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang imigresen negara.

“Operasi seperti ini akan diteruskan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen sentiasa dipelihara,” katanya. – Info X