KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan menerusi Operasi Bersepadu Intra/Inter Agensi (Op Tiris Briged Sabah PGA) yang dijalankan serentak di lapan daerah di negeri ini, pada 13 Mei lalu.
Operasi bermula kira-kira jam 8 pagi hingga 6 petang itu dijalankan di Kota Kinabalu, Tawau, Keningau, Semporna, Sandakan, Beluran, Kunak dan Lahad Datu.
Komander Briged Sabah PGA, Datuk Nor Omar Sappi berkata operasi bersepadu itu dilaksanakan bertindak atas maklumat bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta penyelewengan barang kawalan di seluruh negeri Sabah.
“Operasi itu melibatkan kekuatan 101 anggota iaitu 76 pegawai dan anggota Briged Sabah PGA serta 25 pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Sebanyak 11 serbuan berjaya dilakukan sepanjang operasi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil operasi turut membawa kepada penahanan 11 individu berumur antara 20 hingga 66 tahun membabitkan sembilan warga tempatan iaitu lapan lelaki dan seorang wanita serta dua lelaki warga asing.

Katanya, semua tangkapan didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM586,779.76 membabitkan pelbagai barang kawalan dan aset.
“Rampasan meliputi 3,245 liter diesel bernilai RM6,978.75, 3,818 liter petrol bernilai RM15,348.36, 1,062 paket minyak masak bernilai RM2,655, 173 tong LPG bernilai RM43,250, 1,019 paket tepung bernilai RM3,566.50 dan 639 paket gula pasir bernilai RM1,821.15,” katanya.
Beliau berkata, turut dirampas ialah empat unit kenderaan atau bot bernilai RM447,000 serta 38 unit pelbagai peralatan lain bernilai RM66,160.
Sementara itu, beliau berkata antara kesalahan dikenal pasti ialah di bawah Peraturan 1974 Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Imigresen 1963.
“Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Nor Omar berkata pihaknya kekal komited dan konsisten dalam membanteras aktiviti penyeludupan serta penyelewengan barang kawalan khususnya di negeri Sabah.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti berkenaan supaya menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu tindakan penguatkuasaan. – Info X