Search

544 premis perniagaan dikompaun sejak Januari – KPDN Sabah

June 16, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 544 premis perniagaan dikenakan tindakan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dalam tempoh Januari hingga semalam.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, jumlah itu membabitkan pemeriksaan ke atas 31,206 premis perniagaan di negeri ini.

“Ia membabitkan nilai rampasan sebanyak RM5,181.595.36 dan tempoh itu juga KPDN berjaya mengutip kompaun sebanyak RM 62,300 dan denda mahkamah sebanyak RM 20,000.

“Sepanjang setengah tahun pertama, KPDN Sabah telah menerima sebanyak 1,073 aduan pengguna dari pelbagai kategori yang berekod dalam sistem eAduan KPDN Sabah,” katanya

Beliau berkata demikian selepas melaksanakan pemeriksaan bersama anggota penguat kuasa KPDN di Pasar Besar Kota Kinabalu, hari ini.

Georgie berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan harga dan bekalan bahan mentah barangan keperluan sebagai persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha ini.

Katanya, pemeriksan dijalankan di Pasar Besar Kota Kinabalu yang merupakan tempat tumpuan pengguna mendapatkan bekalan bahan mentah untuk kegunaan semasa merayakan Aidiladha.

“Pemeriksaan ini dijalankan bagi memastikan harga bahan mentah tidak dinaikkan sesuka hati, di samping memastikan bekalan mencukupi untuk memenuhi permintaan yang tinggi.

“Tumpuan pemeriksaan kali ini adalah kepada gerai sayur sayuran, ayam, telur, daging, kelapa parut dan santan yang merupakan antara barangan keperluan dalam sambutan Aidiladha,” katanya.

Menurutnya, tinjauan mendapati bekalan bahan mentah adalah mencukupi dengan harga jualan pada tahap normal, tanpa sebarang kenaikan harga.

Georgie mengingatkan para peniaga supaya tidak menaikan harga barang dan perkhidmatan sesuka hati dengan kadar yang tidak munasabah tanpa alasan yang kukuh.

“KPDN akan menyiasat setiap aduan yang diterima mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan dan aduan berkenaan harga dan barang kawalan akan disiasat dalam tempoh 24 jam.

“Pengguna disarankan supaya melaporkan terus sebarang maklumat berkaitan salah laku peniaga dengan menyalurkan maklumat atau aduan yang lengkap kepada KPDN Sabah,” katanya. – Info X