Search

Penganjur Perhimpunan #KamiMahuAir Sabah akan dipanggil – polis

June 16, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Penganjur Perhimpunan #KamiMahuAir Sabah akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan pihak polis berhubung penganjuran perhimpunan berkenaan di hadapan Menara Kinabalu, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata ketika ini pihaknya sedang menyiapkan siasatan berhubung penganjuran perhimpunan berkenaan.

Katanya, perhimpunan yang dianjurkan oleh sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) disiasat mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Setakat ini belum ada sebarang tangkapan, kita akan teliti terlebih dahulu dan akan memanggil penganjur, mungkin dalam sehari dua ini kertas siasatan akan disiapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Rondaan Bermotosikal Amanita, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di Dataran Deasoka, di sini, hari ini.

Kasim ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rondaan Bermotosikal Amanita, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di Dataran Deasoka, Kota Kinabalu.

Sementara itu, katanya sembilan individu yang ditahan pada Jumaat lalu selepas menyertai perhimpunan berkenaan masih ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Katanya, seorang daripada mereka iaitu guru sekolah alternatif direman sehingga 17 Jun dan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana membawa orang tanpa dokumen.

“Lapan orang lagi adalah individu yang tidak mempunyai dokumen direman selama 14 hari dan mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Semalam, koordinator sekreteriat perhimpunan itu, Mohd Norhamdin Nordin, mendakwa sembilan yang ditahan polis itu ialah masing-masing seorang guru dan lapan pelajar sekolah alternatif Teluk Layang, di sini, yang berstatus penduduk tanpa negara atau ‘stateless’. – Info X