Search

55 kenderaan bernilai RM7.1 juta disita, gagal patuhi Perintah Duti Kastam

December 29, 2025

Info X Reporters

LABUAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan menyita 55 kenderaan pelbagai jenis sepanjang tahun ini selepas didapati gagal mematuhi Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.

Nilai rampasan keseluruhan termasuk cukai bagi semua kenderaan terbabit dianggarkan melebihi RM7.1 juta.

Pengarah JKDM Labuan, Aspalila Ag Tuah berkata, semua kenderaan terbabit disita menerusi beberapa siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, kenderaan berkenaan dibawa masuk ke Kawasan Utama Kastam (KUK) menggunakan kemudahan di bawah Butiran 14, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.

“Bagaimanapun, kenderaan-kenderaan itu gagal dikembalikan ke Pulau Bebas Cukai selepas tamat tempoh yang dibenarkan.

Kenderaan yang disita oleh JKDM Labuan. – Pix/BES Labuan

“Operasi ini dijalankan bagi mengesan pemilik kenderaan yang melanggar syarat di bawah Butiran 14 Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media khas di Pejabat Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan, JKDM Labuan, hari ini.

Beliau berkata, semua kenderaan pelbagai jenama itu disita dan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 sebelum tindakan lanjut diambil.

Tambahnya, kenderaan yang dibeli di Pulau Bebas Cukai Langkawi dan Labuan hanya dibenarkan dibawa masuk ke Kawasan Utama Kastam (KUK) untuk tempoh tidak melebihi 90 hari dalam setahun. – Info X