Search

Madius pengerusi baharu POIC, Roger Chin pengerusi Invest Sabah

December 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Madius Tangau dilantik sebagai pengerusi baharu Palm Oil Industrial Cluster (POIC).

Watikah pelantikan Ahli Parlimen Tuaran yang juga bekas Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah itu diserahkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick pada Isnin.

Turut menerima watikah ialah bekas Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah, Datuk Janathan Kandok sebagai Timbalan Pengerusi POIC.

Pada majlis di Wisma Kewangan itu, Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Kewangan dan Pengangkutan turut menyerahkan watikah pelantikan kepada pengerusi baharu Invest Sabah, iaitu ADUN Dilantik, Datuk Roger Chin.

Ewon dalam ucapannya berkata, pelantikan ketiga-tiga tokoh berpengalaman itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pelaburan, perindustrian dan logistik Sabah terus dipacu secara teratur, inklusif dan berimpak tinggi.

Beliau turut mengulangi komitmennya untuk terus melaksanakan agenda Sabah First dalam kementeriannya dengan memberi tumpuan besar kepada beberapa perkara antaranya membangunkan ekosistem pelaburan dan keusahawanan yang mesra pelabur dan usahawan.

“Pelantikan ini selaras dengan pendekatan ‘Sabah First’, di mana kepentingan dan manfaat kepada rakyat serta ekonomi Sabah sentiasa menjadi keutamaan.

“Saya percaya dengan pengalaman luas dan kepakaran mereka, POIC Sabah dan Invest Sabah akan terus memainkan peranan strategik dalam membawa masuk pelaburan berkualiti dan meningkatkan daya saing negeri,” katanya.

Sementara itu, ketiga-tiga yang dilantik merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kepercayaan yang diberikan dan berikrar untuk melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan dengan penuh komitmen.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Thomas Logijin; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) POIC Sabah, Datuk Gredian Gan dan CEO Invest Sabah Dr Firdausi Suffian. – Info X