Search

6 murid cedera, van dirempuh pacuan empat roda

June 7, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seramai enam murid sekolah rendah cedera selepas van dinaiki mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Batu 5, Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu, semua kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun itu dihantar ke Hospital Tawau untuk menerima rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kes kemalangan berkenaan kira-kira jam 1 petang.

Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berkenaan membabitkan sebuah van persendirian dipandu lelaki berusia 24 tahun dengan pacuan empat roda.

“Ketika kejadian van yang membawa enam murid sekolah itu dari arah Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 4 menuju pulang ke Kampung Hidayat, Batu 4.

“Bagaimanapun, van berkenaan dilanggar oleh pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 24 tahun dari arah bertentangan ketika cuba keluar simpang di pusingan U,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, pemandu van hilang kawalan dan terbabas sebelum terbalik di lorong sebelah kiri jalan menghala ke bandar Tawau.

“Kemalangan itu menyebabkan enam murid sekolah mengalami kecederaan ringan, manakala kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semua murid yang cedera dihantar ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan dan menerima rawatan lanjut,” katanya.

Jasmin berkata, siasatan masih diteruskan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Info X