KOTA KINABALU: Enam pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Pakistan dihantar pulang ke negara asal melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Semua Pati yang ditahan di Depot Imigresen Tawau itu dipindahkan menggunakan pengangkutan udara terus ke Lahore, Pakistan.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, program pemindahan tahanan Pati kali ini hanya membabitkan lelaki dewasa.
“Pemindahan tahanan Pati warga Pakistan berkenaan dijalankan atas program pembiayaan sendiri.
“Pati yang dipindahkan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, semua enam Pati terbabit turut melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, siasatan dijalankan selepas semua mereka didapati masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.
Katanya, semua Pati terbabit telah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal setelah lengkap dokumen perjalanan. – Info X