KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah merekodkan peningkatan kes kebakaran musim perayaan Tahun Baharu Cina saban tahun sejak tiga tahun lalu.
Berdasarkan statistik kebakaran bangunan musim perayaan itu, sebanyak 111 kes kebakaran dilaporkan berlaku bermula tahun 2022 hingga 2024.
Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Lizalman Abu berkata, 90 kejadian disebabkan oleh elektrik manakala selebihnya didapati berpunca dari dapur.
Katanya, JBPM mengesan peningkatan daripada 28 kes pada tahun 2022 kepada 38 kes pada perayaan Tahun Baharu Cina 2023.

“Statistik terus menunjukkan peningkatan dengan 45 kes kebakaran dilaporkan pada perayaan Tahun Baharu Cina 2024.
“Kita ambil kira tiga tahun, memang ada peningkatan. Sebab itu, kita masih teruskan kempen dalam setiap perayaan, bukan saja Tahun Baharu Cina tetapi setiap perayaan memang kita laksanakan kempen seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Kempen Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Ops Musim Perayaan sempena Tahun Baharu Cina 2025, di City Mall, di sini, hari ini.
Lizalman berkata, kempen ini dilaksanakan bagi memberi peringatan kepada masyarakat agar sentiasa keselamatan.

Katanya, terutama sekali kepada mereka yang akan menggunakan jalan raya dan juga yang akan meninggalkan rumah semasa perayaan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi, Invest Sabah Berhad, George Wong yang mewakili Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phong Jin Zhe berkata, kempen seperti ini akan memberi manfaat kepada masyarakat.
Katanya, ia amat penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pencegahan kebakaran dan keselamatan. – Info X