TAWAU: Lebih 60 rumah dan sebuah masjid di penempatan atas air di Kampung Sri Aman Dua, di sini, musnah terbakar, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, tiga mangsa berusia 14 dan 49 tahun dilaporkan mengalami sesak nafas dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.46 pagi.

Katanya, seramai 55 anggota dan pegawai bersama sembilan jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman.
“Kebakaran membabitkan sebanyak 60 buah rumah dan sebuah masjid jenis tidak kekal yang berkeluasan kira-kira dua ekar musnah terbakar.
“Pasukan bomba menghadapi kesukaran dalam operasi kerana rumah terlalu rapat, binaan daripada kayu dan keadaan angin yang tidak menentu,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.

Menurutnya, pasukan bomba terpaksa membentangkan hos bomba sejauh 182 meter kerana air laut yang surut dan terdapat jambatan yang sudah runtuh.
Selain itu, katanya pasukan bomba juga terpaksa menggunakan kaedah ‘fire break’ atau membongkar dua buah rumah supaya api tidak merebak ke kawasan lain.
“Namun, kepantasan dan kaedah yang digunakan oleh pasukan bomba berjaya menyelamatkan sebanyak 250 buah rumah daripada musnah terbakar.
“Kebakaran dapat dikawal pada jam 9.20 pagi tadi dan pasukan bomba akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca serta jumlah kerugian dalam kejadian itu,” katanya. – Info X