Search

PPM tahan bot pukat tunda jual diesel bersubsidi nelayan tanpa permit

January 12, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan sebuah bot pukat tunda selepas disyaki menjalankan aktiviti penjualan minyak diesel bersubsidi nelayan tanpa permit di kawasan laut Safma, di sini, Jumaat lalu.

Bot pukat tunda itu ditahan oleh PPM Kota Kinabalu ketika membuat rondaan menggunakan bot ronda di kawasan berkenaan, kira-kira jam 8 malam.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemukan beberapa tangki yang diubah suai berisi minyak diesel.

“Dua tangki minyak yang telah diubah suai dengan kapasiti 1,000 liter yang berisi minyak diesel kira-kira 2,000 liter manakala empat tangki minyak yang juga diubah suai dengan kapasiti 600 liter yang berisi minyak diesel 2,400 liter.

Tangki yang diubah suai berisi minyak diesel ditemui dalam bot pukat tunda di perairan Safma, Kota Kinabalu. – Foto/PPM

“Dua lagi tangki minyak yang diubah suai ditemui dengan kapasiti 800 liter berisi minyak diesel 1,600 liter,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan minyak diesel sebanyak 6,000 liter yang dianggarkan bernilai RM163,500.

“Pasukan serbuan turut merampas peralatan untuk menjalankan aktiviti penjualan minyak berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut dibuat mendapati penama gagal mengemukakan sebarang permit membeli, membawa san memasarkan minyak diesel bersubsidi nelayan daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya.

Tambah beliau lagi, pasukan serbuan kemudian membuat tangkapan dan rampasan seterusnya telah dibawa ke Pangkalan PPM Kota Kinabalu untuk tindakan siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – Info X