Search

645 PATI warga Filipina dihantar pulang

August 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 645 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, semalam.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pemindahan menggunakan kapal MV Antonia 1 itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Sandakan dan Tawau.

Katanya, mereka terdiri daripada 451 lelaki dewasa, 127 perempuan dewasa, 37 kanak-kanak lelaki dan 30 kanak-kanak perempuan berusia antara tiga hingga 77 tahun.

PATI dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.

“Semua kanak-kanak ini turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehingga kini, beliau berkata seramai 5,639 warga Filipina dihantar pulang tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan PATI dipindahkan dari Sabah sahaja sebanyak 7,203 orang.

“Semua tahanan PATI telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan dan mempunyai Travel Documents (TD) yang sah untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan tahanan asing ke negara asal,” katanya.

Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, majikan digesa menyertai program pendataan digital warga asing yang dilaksanakan kerajaan negeri Sabah bagi merekod keberadaan pekerja asing khususnya dalam sektor perladangan.

Sebahagian PATI warga Filipina yang dihantar pulang ke negara asal.

“Inisiatif Kerajaan Negeri ini dijangka dapat mengekang isu dokumentasi pelbagai dokumen dan lambakan PATI di negeri ini.

“Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana majikan yang melindungi PATI termasuk boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, penjara dan sebatan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Info X