Search

Enjin tercabut, pemandu maut kereta rempuh pokok

August 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh pokok hingga mengakibatkan enjin tercabut dalam kejadian di Jalan Tun Fuad Stephen berhampiran Sabah International Convention Centre (SICC), tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.22 tengah malam itu, mangsa berusia 31 tahun yang memandu Perodua Viva dipercayai cuba memotong sebuah Proton Saga dari lorong kiri.

Bagaimanapun kereta itu hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar sebatang pokok di pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, impak kuat menyebabkan enjin kenderaan mangsa tercabut dan tercampak ke atas jalan sebelum dilanggar Proton Saga berkenaan.

“Mangsa meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di bahagian kepala, manakala pemandu Proton Saga berusia 28 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk proses pengecaman dan bedah siasat selain sampel darah turut diambil bagi tujuan analisis toksikologi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, tidak memandu di bawah pengaruh alkohol serta memastikan memiliki lesen sah bagi mengelakkan tragedi. – Info X