Search

65 calon STPM terperangkap banjir, operasi khas digerakkan di Pitas

February 22, 2026

Info X Reporters

PITAS: Seramai 65 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang terperangkap banjir di beberapa kampung sekitar daerah ini sedang dipindahkan menerusi operasi khas bagi memastikan mereka dapat menghadiri sesi peperiksaan.

Operasi diselaraskan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Pitas itu membabitkan pelajar dari dua sekolah iaitu SMK Pitas dan SMK Pitas 2 yang terjejas akibat laluan dinaiki air.

Lima lokasi dikenal pasti terlibat iaitu Paitan, Pinapak, Kanibongan, Pandan Mendamai dan Kusilat.

Operasi dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta RELA.

Pegawai APM Pitas, Leftenan (PA) Norman Bigol berkata, ketika ini, APM menggerakkan dua pegawai dan 20 anggota bersama tiga bot untuk mengeluarkan semua 65 pelajar yang terperangkap.

“Operasi masih giat dijalankan dan beberapa pelajar sudah berjaya dibawa keluar bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan mengikut jadual,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kerjasama semua agensi keselamatan membolehkan proses pemindahan dilaksanakan secara tersusun walaupun berdepan laluan yang ditenggelami air.

Beliau berkata, operasi akan diteruskan sehingga kesemua pelajar berjaya dipindahkan dengan selamat, manakala laporan perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Kesemua pelajar terbabit bakal menduduki peperiksaan STPM pada Isnin dan perlu kembali ke sekolah pada Ahad bagi memastikan mereka tidak terlepas menduduki peperiksaan berkenaan. – Info X