Search

Ayob Khan menceritakan operasi senyap membebaskan mangsa culik Abu Sayyaf

February 22, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Episod hitam penculikan seorang peraih ikan dari Semporna, Pang Choon Pong oleh kumpulan militan Abu Sayyaf Group (ASG) akhirnya terungkai menerusi satu operasi khas yang dilaksanakan secara sulit dan berisiko tinggi.

Perkongsian mengenai operasi berkenaan dimuat naik Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menerusi Facebook rasminya hari ini, bersempena imbas kembali kejayaan misi berkenaan.

Mengimbau kembali peristiwa itu, Ayob berkata, Pang diculik pada 5 Oktober 2011 ketika berada di Pondohan Lok Angki, Sitangkai, Tawi-Tawi, selatan Filipina sebelum dibawa ke wilayah Sulu, Kepulauan Jolo – kawasan yang terkenal dengan aktiviti militan bersenjata dan penculikan rentas sempadan.

Katanya, sepanjang tempoh ditahan, mangsa dipindahkan dari satu lokasi ke lokasi lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Awal September 2012, maklumat risikan mengesahkan mangsa masih hidup dan ditahan di sebuah kem ASG di Bukit Kepang, Indanan Municipality.

“Beliau dikurung bersama beberapa warga asing lain dan dikawal kira-kira 30 anggota militan bersenjata lengkap,” katanya.

Menurut Ayob, usaha membawa pulang mangsa digerakkan secara sulit bermula Disember 2012 hingga Mac 2013 oleh Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) @ E8.

Katanya, lebih 20 siri rundingan sulit diadakan melalui rangkaian sumber dengan kumpulan penculik sebelum mencapai kata sepakat untuk pembebasan.

“Pegawai operasi yang terlibat dalam misi khas itu ialah Reno, Jaybon dan Ariel.

“Selepas hampir satu setengah tahun dalam tawanan, Pang akhirnya dibebaskan pada 5 Mac 2013, menamatkan penderitaan panjang yang menguji ketahanan dirinya serta kesabaran keluarga di tanah air,” katanya.

Ayob Khan berkata, pada peringkat awal, operasi berkenaan dianggap hampir mustahil berikutan risiko keselamatan tinggi, pelaksanaan operasi sulit di luar negara serta kawalan ketat di perairan bergolak.

Namun katanya, kejayaan misi itu membuktikan tiada operasi terlalu sukar jika dilaksanakan pegawai berdedikasi, proaktif dan berani memikul amanah.

“Kecekalan, empati kemanusiaan dan kerjasama berpasukan menjadi kunci kejayaan.

“Dedikasi serta keberanian pegawai Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) @ E8 mencerminkan semangat sebenar pengabdian kepada tugas demi melindungi nyawa rakyat tanpa mengharapkan pengiktirafan,” katanya. – Info X