Search

Warga emas ditemukan lemas, selepas hanyut

February 22, 2026

Info X Reporters

BELURAN: Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan selepas empat hari dilaporkan hilang di sungai dalam kejadian di Kampung Lubang Buaya, Paitan, dekat sini, hari ini.

Mangsa, Abdul Kadir Sahman, 64, ditemui penduduk kampung kira-kira jam 10.30 pagi pada jarak dua kilometer (km) dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Khamis lalu, mangsa bersama seorang rakan dipercayai menyeberangi sungai menggunakan sebuah kenderaan sebelum dihanyutkan arus deras.

Bagaimanapun, rakannya sempat menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.10 petang, Khamis lalu sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba di kampung berkenaan kira-kira jam 7 malam berikutan jaraknya yang jauh, iaitu kira-kira 200 kilometer dari balai.

“Namun, operasi tidak dapat diteruskan kerana paras air meningkat dan laluan ke lokasi tidak selamat untuk dilalui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, usaha pencarian pada hari berikutnya juga terpaksa ditangguhkan kerana keadaan laluan masih ditenggelami air.

“Mangsa ditemukan pada hari keempat oleh penduduk kampung sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya, selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 3 petang. – Info X