KOTA KINABALU: Penyerang baharu Sabah FC, Chris Marlon Ondong menyelamatkan maruah Sabah daripada tewas tanpa jaringan setelah dibolosi enam gol dalam aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Likas, malam ini.
Ondong berjaya mencipta jaringan tunggal untuk tuan rumah pada minit ke-88 bagi mengubah kedudukan perlawanan kepada 6-1.
Meskipun tewas di tangan JDT, jaringan Ondong umpama bonus bagi pasukan Sabah kerana berjaya menidakkan kemenangan dengan jaringan tanpa balas oleh pasukan pelawat.
Bagaimanapun, skuad Sang Badak dimalukan bekas penyerangnya sendiri, Ajdin Mujagic apabila dibolosi dua gol hasil jaringan pemain itu untuk menambah jaringan JDT.
Mujagic yang baru menyertai JDT setelah dilepaskan Sabah FC pada akhir bulan lalu, menjaringkan dua gol pada minit ke-21 dan ke-39.
JDT memulakan jaringan menerusi sepakan penalti Bergson Da Silva pada minit kelapan selepas semakan VAR mengesahkan beliau dijatuhkan pemain Sabah, Dane James Ingham dalam kawasan petak penalti dua minit sebelum itu.
Selepas jaringan pembukaan itu, JDT tidak berlengah mengasak tuan rumah hingga mendapat gol kedua menerusi Mujagic pada minit ke-21, sebelum disusuli jaringan ketiga oleh Oscar Aribas pada minit ke-24 dan sekali lagi gol Mujagic pada minit ke-39.
Sepanjang babak pertama, Sabah hanya berhasil melakukan dua atau tiga cubaan ke arah gawang JDT, namun tidak mampu untuk menjaringkan gol disebabkan halangan pertahanan lawan yang sukar ditembusi.
JDT berjaya mengumpul empat gol tanpa balas pada babak pertama, sedangkan skuad Sang Badak kelihatan seolah-olah tiada ruang untuk mendapatkan jaringan.
Bersambung ke separuh masa kedua, JDT tidak berlengah untuk menambah lagi jaringan, malah jaringan kelima muncul hanya beberapa saat selepas permainan bermula.
Jaringan pada minit ke-45 itu dihasilkan Manuel Federico Hidalgo, sebelum disusuli jaringan keenam hanya berselang dua minit oleh Aribas pada minit ke-47, menjadikannya gol peribadi keduanya dalam perlawanan malam ini.
Sepanjang babak kedua, pemain Sabah dilihat lebih banyak berada di kawasan sendiri dan hanya sesekali berjaya melakukan serangan balas, namun mudah dipatahkan pertahanan JDT. – Info X