Search

66 tan sampah dikumpul dari Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar

October 2, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 66 tan sampah dikumpulkan pada hari pertama Program KK Cleanup Day 4.0 di Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar yang bermula hari ini.

Program anjuran Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) diadakan sehingga 4 Oktober ini.

DBKK dalam kenyataannya berkata, program itu dilaksanakan dengan kerjasama penduduk Kampung Lok Urai, Kasuapan, Pulau Gaya Asli, Lobong dan Torong Logong di Pulau Gaya serta Kampung Pulau Sepanggar di Pulau Sepanggar.

Katanya, sebanyak 12 unit bot digerakkan untuk mengangkut sampah terkumpul dari 11 jeti di sekitar Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar.

Longgokan sampah dalam plastik hitam yang berjaya dikumpul pada hari pertama Program KK Cleanup Day 4.0. – Foto/DBKK

“Selain itu, sebanyak 12 unit jentera berat yang terdiri daripada lori kompaktor, lori ro-ro, jengkaut dan ‘open truck’ digerakkan untuk melupuskan sampah di tapak pelupusan Kayu Madang,” katanya.

Perkembangan semasa program KK Cleanup Day 4.0: Pulau Gaya & Pulau Sepanggar boleh diikuti melalui akaun TikTok dan Facebook KK Bersih Dan Hijau. – Info X