Search

3 projek bekalan air bermasalah di Sandakan dalam perhatian PAC

October 2, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tiga projek berkaitan bekalan air di Sandakan berada dalam perhatian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen selepas disebut antara projek bermasalah dalam Laporan Audit Negara.

Projek ialah ialah Menaik Taraf Sistem Bekalan Air, termasuk tangki simpanan bernilai RM133 juta dan Projek Bekalan Air Luar Bandar bernilai RM37 juta di Kampung Jaya Bakti dan Kampung Memanjang serta sekitarnya.

Satu lagi ialah Projek Bekalan Air Luar Bandar yang membabitkan dua Stesen Pam Penggalak di Kampung Semawang dan Kampung Lalasun.

Pengerusi PAC Parlimen, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin bersama anggota PAC melawat ketiga-tiga projek itu pada 29 September hingga semalam, sebelum mengadakan prosiding berhubung projek terbabit, di sini, hari ini.

Dua prosiding diadakan, masing-masing berhubung isu Pengurusan Air Negara di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan isu berkaitan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Sabah di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Dalam kenyataannya selepas itu, Mas Ermieyati, berkata lawatan kerja PAC bagi melihat sendiri isu atau masalah pelaksanaan projek yang berbangkit dalam Laporan Audit Negara.

Menerusi lawatan di Projek Menaik Taraf Sistem Bekalan Air, termasuk tangki simpanan di Sandakan yang berada di bawah Pengurusan Air Negara (PAN) oleh PETRA, beliau berkata PAC dimaklumkan bahawa projek penaiktarafan keseluruhan lima tangki sudah siap dan sedang menunggu untuk diuji dan diterima daripada kontraktor kepada agensi.

Katanya, bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar di Kampung Jaya Bakti dan Kampung Memanjang serta sekitarnya, projek bermula pada 2016 dan sepatutnya siap pada 9 September 2017, hanya siap sepenuhnya pada 13 November 2018.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa komponen projek dalam sistem pam dan peralatan sokongan bagi sistem electro-chlorination (EC) serta sistem pemproses enap cemar yang rosak serta tidak berfungsi di Loji Rawatan Air (LRA) Jaya Bakti,” katanya.

Sementara itu, katanya PAC dimaklumkan Projek Bekalan Air Luar Bandar yang membabitkan Stesen Pam Penggalak di Kampung Semawang dan Kampung Lalasun, Sandakan berdepan masalah kebocoran paip yang menyambungkan sumber air terawat dari LRA Segaliud berpunca daripada saluran paip berhampiran longkang yang ditenggelami air.

“Selain itu, kawasan LRA Bukit Garam, Kinabatangan, yang membekalkan air ke Kampung Semawang, belum mempunyai bekalan elektrik, menyebabkan LRA beroperasi menggunakan set generator yang sering mengalami kerosakan,” katanya. – Info X