Search

670 Pati warga Filipina dihantar pulang

April 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 670 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Filipina, berjaya dihantar pulang pada Program Pemindahan Tahanan Asing ke Negara Asal oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri (JIM) Sabah, semalam.

Semua Pati yang dihantar pulang membabitkan kanak-kanak dan dewasa berusia setahun hingga 79 tahun yang sebelum ini ditahan daripada Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Sandakan.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua tahanan Pati dipindahkan ke Zamboanga City, Filipina, menggunakan pengangkutan laut feri MV ANTONIA 1 melalui Pelabuhan Sandakan.

Katanya, sehingga ke hari ini, seramai 3,379 individu warga Filipina berjaya
dipindahkan ke negara asal dengan kerjasama penuh daripada pihak Kedutaan Republik Filipina yang bertanggungjawab dalam pengeluaran Travel Documents (TD).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan warganegara asing yang terbabit dalam program pemindahan tahanan adalah seramai 4,198 individu.

“Pati yang dipindahkan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di mengikut Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.

“Pati terlibat sudah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal setelah lengkap dokumen perjalanan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua tahanan Pati ini akan disenarai hitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.

Menurutnya, kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan Pati warganegara Filipina oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan pengeluaran TD secara berterusan oleh pihak Kedutaan Republik Filipina di Malaysia.

Katanya, operasi pemindahan tahanan itu adalah sebahagian daripada operasi berterusan JIM Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa untuk mengelak tempoh penahanan yang panjang.

“JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang diberikan.

“Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan atau pas yang sah dan individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub mengikut Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, JIM menasihatkan majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.

Katanya, JIM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras Pati di negara ini. – Info X