Search

KePKAS tawar RM10,000 kepada pemberi maklumat kes pembunuhan gajah

April 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) menawarkan ganjaran RM10,000 kepada individu yang tampil memberi maklumat berhubung kes pembunuhan gajah di Kalabakan.

Menterinya, Datuk Seri Christina Liew, berkata maklumat itu penting bagi membantu pihak berkuasa sehingga dalang yang membunuh haiwan dilindungi itu ditangkap, didakwa dan disabitkan kesalahan di mahkamah.

Sehubungan itu, beliau merayu kepada saksi yang melihat pembunuhan gajah atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan supaya tampil bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Datuk Seri Christina Liew

“Kita memutuskan untuk menawarkan ganjaran RM10,000 ketika mesyuarat kementerian pada Rabu selepas kita dikejutkan dengan penemuan satu lagi bangkai gajah tanpa kepala, baru-baru ini.

“Ia adalah kes ketiga sejak Januari tahun ini. Kita mahu bukti yang kukuh terhadap tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini.

“Sehubungan itu, kita meminta kerjasama orang ramai untuk membuat laporan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) dan polis jika ada individu atau pihak yang menyaksikan mana-mana insiden terhadap gajah terbabit.

“Ini bagi memastikan kita dapat mendakwa pihak yang bertanggungjawab membunuh hidupan liar itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Minggu lalu, bangkai seekor gajah tanpa kepala ditemui dekat kawasan hutan Tibow, Kalabakan, di Jalan Kalabakan – Sapulut, tidak jauh dari lokasi penemuan bangkai seekor gajah yang turut ditemui tanpa kepala dekat Lembangan Maliau di jalan yang sama pada Januari lalu.

Penemuan bangkai gajah terbabit disahkan Pengarah JHLS, Mohd Soffian Abu Bakar berikutan satu laporan diterima pihaknya pada minggu lalu mengenai bangkai seekor gajah tanpa kepala di kawasan Tibow, Kalabakan.

Berikutan penemuan bangkai gajah terbabit, JHLS diarah melaksanakan operasi bersama pihak berkuasa lain, termasuk membuat sekatan jalan raya di lokasi strategik bagi mengesan pelaku jenayah berkenaan. – Info X