TAWAU: Seramai 68 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, diusir pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 14, melalui Pelabuhan Tawau, di sini, semalam.
Semua PATI berkenaan sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Tawau dihantar ke Pelabuhan Nunukan Terminal Tunon Taka, Indonesia menggunakan pengangkutan laut.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, mereka yang diusir itu terdiri daripada 63 lelaki dan lima wanita.

“Bagi tahanan dewasa purata usia daripada 19 hingga 62 tahun dan tiada kanak-kanak yang terbabit dengan program penghantaran pulang kali ini.
“Proses pemindahan tahanan dengan iringkawal masuk sehingga ke dalam Vessel (laut) Mid East Express,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
SH Sitti Saleha berkata, semua PATI ini ditahan di Depot Imigresen selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara ini.

“Oleh itu, semua warga asing diingatkan supaya memastikan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah.
“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.
Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di Sabah.
“JIM Sabah ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam operasi pengusiran ini, khususnya Kerajaan Negeri Sabah dan Konsulat Jenderal Republik Indonesia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan,” katanya.
Katanya, JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI.
“Ia dijalankan selepas semua PATI melalui tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya. – Info X