Search

Desak Filipina tubuh konsulat di Sabah – SAPP

June 28, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee menyeru kerajaan Malaysia supaya mendapatkan kesediaan kerajaan Filipina menubuhkan sebuah konsulat di Sabah.

Katanya, dengan menubuhkan sebuah konsulat Filipina di negeri ini, negara itu akan memberitahu rakyatnya sendiri di Filipina supaya melupakan tuntutan ‘khayalan’ mereka terhadap Sabah.

“Berita baik yang mengatakan bahawa Malaysia berjaya mengatasi cubaan yang remeh oleh pewaris kesultanan Sulu yang tidak lagi berfungsi telah membawa kelegaan kepada rakyat Sabah.

“Nampaknya usaha pihak yang menuntut Sulu telah merugikan mereka dan penyokong kewangan mereka.

“Bagi menyimpulkan kejayaan dan sekaligus menamatkan tuntutan Filipina atau waris Sulu ke atas Sabah, kerajaan Malaysia mesti melakukan yang terbaik dalam mendapatkan kesediaan kerajaan Filipina untuk menubuhkan sebuah konsulat di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yong berkata, Sabah tidak pernah dimiliki atau diperintah oleh Sulu atau Filipina pada bila-bila masa dalam sejarah Sulu atau Filipina.

Katanya, pemberian yang dipanggil 22 Januari 1878 itu sendiri terbatal kerana pemberian sebelumnya antara Brunei dan Overbeck/Dent pada 29 Disember 1877.

Beliau juga berkata, adalah tidak perlu bagi Malaysia meletakkan tuntutan Filipina atau Sulu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Ini kerana, katanya, Malaysia telah berjaya mengalahkan percubaan Filipina untuk membawa tuntutan mereka kepada ICJ melalui kes Pulau/Ligitan, Sipadan pada 2001.

“ICJ telah memutuskan bahawa Filipina telah gagal menunjukkan bahawa ia mempunyai “kepentingan yang bersifat undang-undang” terhadap kes Ligitan/Sipadan.

“Filipina telah cuba campur tangan dalam kes Ligitan/Sipadan antara Malaysia dan Indonesia dengan mengatakan bahawa mereka (Filipina) memiliki kepulauan Ligitan/Sipadan berdasarkan tuntutan mereka ke atas Sabah.

“Percubaan oleh Filipina itu telah digugurkan oleh ICJ (pada tahun 2001),” katanya.

Beliau berkata, terdapat banyak bukti dokumentari yang menunjukkan bahawa Kesultanan Sulu yang kini tidak berfungsi mahupun Republik Filipina tidak pernah memerintah mana-mana bahagian Borneo Utara (kini Sabah).

Katanya, kerajaan Malaysia mesti menunjukkan kepada rakyat Filipina atau Sulu bahawa ia juga demi kepentingan mereka sendiri untuk menghentikan tingkah laku sia-sia mereka menuntut Sabah.

“Semoga hubungan baik kejiranan dalam suasana menang-menang antara Malaysia Sabah dan Filipina Bangsamoro makmur bersama dengan aman.

“Biarlah rakyat Filipina yang tinggal di Sabah mendapat perkhidmatan konsulat yang sangat diperlukan dan yang telah dinafikan oleh kerajaan mereka sendiri (Republik Filipina),” katanya. – Info X