TAWAU: Detik cemas hampir tujuh jam berakhir apabila seorang lelaki yang mengamuk sambil mengurung isterinya bersama tiga anak serta mengugut untuk membunuh berjaya ditahan polis dalam kejadian di kawasan perumahan pekerja sebuah ladang di Kalabakan, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, suspek bertindak agresif di dalam rumah dengan mengunci ahli keluarganya selain mengugut sesiapa yang cuba masuk.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian.
“Suspek mengunci isterinya bersama tiga anak di dalam rumah dan mengugut untuk membunuh mereka selain membaling sabit ke arah individu yang cuba menenangkan keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau bersama anggota Balai Polis Kalabakan digerakkan ke lokasi sejurus menerima maklumat.

Katanya, pemeriksaan mendapati keadaan rumah gelap dan terdapat beberapa senjata berbahaya termasuk parang, sabit serta paip besi.
“Polis mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk memujuk suspek yang berada dalam keadaan agresif sebelum bertindak menyerbu masuk bagi menyelamatkan mangsa.
“Dalam operasi itu, pasukan polis menggunakan senjata perenjat elektrik (Taser) untuk melumpuhkan suspek sebelum berjaya menahannya,” katanya.
Beliau berkata, suspek lelaki tempatan berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi keesokan hari.
“Turut dirampas dua bilah sabit, sebilah parang, pemutar skru, besi ‘loading’ serta empat batang paip besi.

“Siasatan juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 342 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Bahan Letupan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya berdepan situasi ancaman atau keganasan rumah tangga bagi membolehkan tindakan segera diambil. – Info X