TAWAU: Seorang kerani wanita antara individu ditahan dalam Op Mabuk selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi di sekitar bandar ini, awal pagi semalam.
Dalam operasi bermula jam 11 malam hingga 1.30 pagi itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tawau memeriksa puluhan kenderaan di Jalan Sim Hwa Seng dan Jalan St Patrick.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, seramai 50 individu disaring membabitkan 48 kenderaan pelbagai jenis.
“Daripada jumlah itu, enam saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
“Seorang wanita tempatan berusia 39 tahun ditahan selepas ujian saringan awal alkohol pernafasan mendapati bacaan melebihi had dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke BSPT IPD Tawau untuk ujian lanjut menggunakan Evidential Breath Analyzer (EBA II) yang turut merekodkan bacaan tinggi.
“Suspek ditahan untuk tindakan lanjut dan kenderaan dipandunya turut disita,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun turut ditahan dalam operasi berasingan di kawasan One Arena, Kubota kerana menunggang motosikal tanpa lesen selain cukai jalan dan insurans tamat tempoh.
Katanya, remaja itu dikeluarkan notis saman dan akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.
“Dalam operasi sama, tiga motosikal turut disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau menegaskan pihak polis akan terus mempergiat operasi bagi membanteras pemandu di bawah pengaruh alkohol.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memandu selepas mengambil minuman beralkohol demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya. – Info X