KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah terus memperhebat penguatkuasaan apabila 77 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam beberapa operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar Kota Kinabalu dan Keningau.
Dalam operasi hasil aduan awam serta risikan selama kira-kira seminggu itu, seramai 182 individu diperiksa sebelum 77 daripadanya ditahan kerana disyaki melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Operasi penguatkuasaan berkenaan dilaksanakan pada 26 dan 27 Januari 2026, membabitkan 35 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM Kota Kinabalu dan Keningau.

Hasil pemeriksaan mendapati, semua individu yang ditahan terdiri daripada warganegara Filipina dan Indonesia, yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah ketika diperiksa.
Menurut kenyataan JIM Sabah hari ini, semua PATI berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“JIM Sabah turut menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melindungi, menggaji atau bersubahat dengan pendatang asing tanpa izin.

“Dalam masa sama, orang ramai diseru supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing bagi membantu usaha penguatkuasaan, selain menegaskan tiada kompromi akan diberikan terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, khususnya yang melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya. – Info X