Search

Polis siasat insiden bakar premis di pekan Beaufort

January 27, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Polis sedang menyiasat cubaan khianat dengan api membabitkan sebuah kedai di Wisma Arjuna Holding, di sini, selepas premis berkenaan dibakar oleh individu tidak dikenali, awal pagi tadi.

Dalam kejadian antara jam 1.45 hingga 2 pagi itu, pemilik premis berusia 43 tahun menerima makluman daripada pekerjanya mengenai cubaan membakar premis berkenaan sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng, berkata sebaik tiba di lokasi, pengadu mengesan bau minyak petrol di luar premis serta kesan hangus pada pintu gelangsar, banner dalam premis dan cermin hadapan.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan awal mendapati tiada kebakaran besar atau kerosakan serius berlaku.

“Menurut laporan polis, pengadu menerima satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melalui aplikasi WhatsApp yang menunjukkan seorang lelaki tidak dikenali berada di hadapan premis berkenaan.

“Rakaman itu memaparkan suspek menaiki Toyota Vios berwarna perak sebelum membaling objek terbakar ke arah pintu premis sambil memegang sebilah pisau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng.

Wong berkata, pengadu tidak mengenali individu terbabit dan tidak mengesyaki mana-mana pihak terlibat, selain memaklumkan tidak mengalami sebarang kerugian kecuali kesan terbakar pada pintu hadapan premis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api. Siasatan awal mendapati kejadian ini adalah cubaan khianat menggunakan api.

“Rakaman CCTV memang wujud namun ia milik premis bersebelahan dan sedang diusahakan untuk diperoleh bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan dan rampasan dibuat serta tiada saksi awam dikenal pasti, namun siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek dan motif kejadian.

Katanya, pihak polis turut menggerakkan anggota detektif untuk mendapatkan maklumat lanjut dan menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya tampil membantu siasatan. – Info X