KOTA KINABALU: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya sebelum dipercayai berpisah dengan rakannya di kawasan Pantai Tanjung Lipat, Teluk Likas, di sini, pada 21 Januari lalu.
Remaja terbabit Norlyana Abdullah, berbangsa Bajau, dilaporkan keluar dari rumah kira-kira jam 4 petang dan dipercayai bersama seorang rakan baiknya.
Bagaimanapun, rakan berkenaan dilaporkan pulang ke rumah dalam keadaan selamat, manakala mangsa dipercayai meninggalkan rakannya di kawasan pantai berkenaan dan sehingga kini gagal dikesan.
Menurut kenyataan di Facebook Polis Daerah Kota Kinabalu, hari ini usaha mengesan mangsa telah dijalankan oleh pihak keluarga dengan bantuan polis, namun remaja terbabit masih belum ditemui.
Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan mangsa supaya tampil membantu siasatan bagi mempercepatkan usaha mengesan remaja berkenaan.
Orang ramai diminta menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran sekiranya mempunyai maklumat berkaitan.
Kerjasama dan keprihatinan orang ramai amatlah dihargai bagi membantu siasatan serta usaha mengesan mangsa.- Info X