Search

8 daerah terkesan akibat bencana

September 15, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak lapan daerah terkesan akibat banjir dan tanah runtuh dengan 1,648 mangsa ditempatkan di 16 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah setakat jam 8 malam ini.

Lima daerah yang sudah mengaktifkan mengaktifkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa terjejas ialah Beaufort, Penampang, Membakut, Papar dan Putatan.

Setakat jam 8 malam ini, daerah Penampang merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 744 mangsa, diikuti Putatan (393), Beaufort (231), Membakut (202) dan Papar (78).

Menerusi satu kenyataan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), berkata berikutan bencana yang melanda, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meninjau sendiri beberapa lokasi pada Isnin.

Antara tinjauannya ialah di lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Tun Fuad Stephen berhadapan bangunan Jeselton Quay, keadaan rumah tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang dan dua PPS di Putatan iaitu PPR Sri Keramat dan PPS Sri Serigai.

“Terdapat empat lokasi yang terlibat dengan tanah runtuh yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa iaitu di di Sarapung, Penampang, Marahang, Papar, Kampung Mook, Papar dan Cenderakasih, Kota Kinabalu.

“Kerajaan Negeri melalui JPBN meninjau dan kerja menyelamat dipergiatkan untuk mangsa tanah runtuh yang terperangkap akibat tanah runtuh tersebut.

“Terdapat juga lokasi-lokasi tanah runtuh di laluan-laluan utama jalan raya yang memerlukan penelitian terperinci dan tindakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan seterusnya pemantauan yang berterusan,” katanya. – Info X