Search

Bantuan RM1,000 kepada mangsa bencana di PPS, RM10,000 kepada waris meninggal dunia

September 15, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) serta bakul makanan kepada mangsa banjir dan tanah runtuh sebagai langkah segera meringankan beban mangsa.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan, berkata bantuan diagihkan menerusi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).

Katanya, setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) layak menerima BWI sebanyak RM1,000.

Sementara itu, katanya waris mangsa yang terkorban akibat bencana, akan menerima RM10,000 sebagai Bantuan Wang Ihsan Kematian.

“Selain bantuan kewangan, kerajaan juga mengagihkan bakul makanan kepada semua penduduk yang terjejas agar keperluan asas mereka terus terjamin sepanjang tempoh pemindahan,” katanya.

Katanya, penyaluran bantuan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan, pihak berkuasa tempatan dan sukarelawan masyarakat yang giat menjalankan pemantauan serta koordinasi logistik di lapangan.

“Kerajaan Negeri akan terus memastikan kebajikan, keselamatan dan keperluan asas semua mangsa sentiasa menjadi keutamaan,” katanya. – Info X