TAWAU: Lapan pemancing yang keluar memancing di perairan Inderasabah, di sini, pagi semalam, dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi, sehingga kini.
Semua mereka gagal dihubungi menyebabkan ahli keluarga salah seorang mangsa membuat laporan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu bahawa bapanya keluar memancing bersama rakannya menggunakan bot sewaan di sekitar kawasan perairan Inderasabah.

“Bapanya tidak dapat dihubungi serta belum pulang ke rumah sehingga kini.
“Susulan itu, polis telah memaklumkan kepada agensi lain mencari dan mengesan mangsa di laut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, maklumat yang diterima mangsa membabitkan seramai lapan orang dan setakat ini hanya enam mangsa yang telah dikenalpasti.
“Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka di Pos Inderasabah, hari ini.
“Usaha mengesan semua mangsa sedang digerakkan bersama agensi keselamatan yang lain,” katanya. – Info X