KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai kanan agensi itu dan meminta wang rasuah daripada beberapa anggota polis sebagai balasan untuk menyelesaikan kes-kes siasatan SPRM.
Sumber berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 20-an ditahan ketika serbuan dijalankan di beberapa lokasi oleh pihak SPRM Sabah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah, di sekitar Kota Kinabalu, beberapa hari yang lalu.
Katanya, perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 29 Julai depan telah dikeluarkan Majistret Lovely Natasha Charles selepas SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret 1 Kota Kinabalu, pagi tadi.
Semalam, SPRM Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket penyamaran sebagai pegawai kanan SPRM dan pegawai kanan Menteri Dalam Negeri yang dipercayai menggunakan modus operandi bagi menyelesaikan kes yang disiasat oleh agensi penguatkuasa.
Sumber berkata, kegiatan sindiket itu dipercayai telah menipu mangsa yang mengakibatkan kerugian sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.
Hasil serbuan itu, seramai tujuh individu warganegara Malaysia yang berusia antara 20 hingga 30 tahun telah ditahan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – Info X