Search

80 peratus kes jenayah di Sabah selesai

November 12, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya menyelesaikan kira-kira 80 peratus kes jenayah yang dilaporkan di negeri ini sepanjang 10 bulan pertama tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata ini meletakkan kontinjen Sabah berada di kedudukan ketiga tertinggi bagi keseluruhan penyelesaikan kes jenayah dalam negara.

“Untuk rekod, Sabah berjaya menyelesaikan kes jenayah iaitu 80.42 peratus daripada keseluruhan 3,652 kes tahun ini berbanding 78.41 peratus daripada 3,432 kes tahun lalu.

“Malah, dari segi pertuduhan jenayah, sejumlah 58.27 peratus direkodkan bagi tempoh yang sama tahun ini sekali gus meletakkan Kontinjen Sabah berada pada kedudukan pertama bagi pertuduhan kes jenayah dalam negara,” katanya dalam sidang media di IPK Sabah, di sini, hari ini.

Datuk Jauteh (tengah) ketika sidang media di IPK Sabah, Kota Kinabalu.

Mengulas lanjut, Jauteh berkata Kontinjen Sabah mencatatkan peningkatan kadar jenayah sebanyak 6.41 peratus bersamaan 220 kes seiring tindakan Kontinjen Sabah yang membuka kertas siasatan terhadap semua kes berunsurkan jenayah yang diterima sepertimana yang dilaksanakan dari peringkat awal.

“Tindakan ini dilaksanakan untuk memastikan kesejateraan dan keselamatan masyarakat sentiasa terjaga, bagi mereka, walaupun jenayah kecil berbanding jenayah besar tahap ketakutan masyarakat adalah sama,” katanya.

Sementara itu, Jauteh menyatakan bahawa pihak polis meningkatkan kempen kesedaran kepada pengguna jalan raya dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan terutama kemalangan maut di jalan raya.

“Disamping membuat pemantauan kita juga membuat kempen kesedaran kepada pengguna jalan raya.

“Ini kerana kebanyakkan kemalangan jalan raya adalah berpunca daripada kecuaian diri sendiri, jadi kempen kita adalah memberikan kesedaran supaya pengguna lebih peka dan mengutamakan keselamatan semasa berada di jalan raya,” katanya. – Info X