LAHAD DATU: Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah jenis syabu lebih tiga kilogram bernilai RM131,050 dalam serbuan di tepi jalan di I-Peak Business Centre, Jalan Lahad Datu – Tungku, di sini Jumaat lalu.
Suspek warga tempatan berusia 26 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dipercayai sedang dalam urus niaga dadah berkenaan, jam 12.45 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, sebaik ditahan, polis merampas sebuah beg yang dibawa suspek untuk pemeriksaan.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati beg berkenaan mengandungi tiga paket besar dan lima paket kecil berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.
“Semua dadah berkenaan dianggarkan seberat 3,055 gram yang bernilai RM131,050 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Suspek terus ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di IPD Lahad Datu, hari ini.

Dzulbaharin berkata, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebat tidak kurang 12 sebatan
Katanya, suspek juga dipercayai sedang dalam proses urus niaga dan pihak polis akan menyiasat individu yang sepatutnya menjadi penerima kepada semua dadah berkenaan.
Sementara itu, Dzulbaharin berkata, sepanjang Januari hingga November tahun ini, pihaknya merekodkan sebanyak 1,290 kes melibatkan 1,385 tangkapan.
Katanya, manakala rampasan melibatkan 5.16 kilogram yang dianggarkan bernilai keseluruhan sebanyak RM178,464.
“Sehubungan itu, pihak polis akan terus mempergiatkan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan daerah Lahad Datu bebas dari sebarang ancaman jenayah dan dadah.
“Orang ramai juga disarankan supaya membantu menyalurkan maklumat berhubung pengedaran dan penyalahgunaan dadah untuk tindakan segera,” katanya. – Info X