KOTA KINABALU: Seramai 800 pendatang asing tanpa izin (PATI) dipindahkan balik ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan, hari ini.
Semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Sandakan itu dipindahkan menggunakan pengangkutan laut MV Antonia 1, ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, ia membabitkan seramai 628 lelaki, 104 wanita dan 39 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun serta 29 bayi.

“Ini adalah program pemindahan siri 2 untuk kategori usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing.
“Semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
“Seramai 1,525 tahanan telah dipindahkan dalam 2024 ke negara asal membabitkan pengangkutan laut dan darat,” katanya.
Katanya lagi, Jabatan Imigresen Sabah akan terus melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Semua agensi penguatkuasaan di negeri Sabah juga akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya. – Info X