TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki memecah masuk sebuah rumah kebun di Kampung Sungai Udin, di sini, semalam.
Suspek berusia 37 tahun itu ditahan sepasukan anggota daripada Balai Polis Bombalai di kawasan kampung berkenaan, kira-kira jam 10 malam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu bahawa rumah kebunnya dipecah masuk pada jam 4.30 petang.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota daripada Balai Polis Bombalai menjalankan serbuan di kawasan kampung berkenaan.
“Pasukan serbuan yang tiba di kawasan kampung berkenaan berjaya mengesan suspek dan terus menjalankan siasatan.
“Hasil siasatan awal, suspek mengaku terlibat dalam kes pecah rumah kebun berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek sendiri telah menunjukkan lokasi semua barang curi iaitu satu gelen racun dan tong gas yang disembunyikan di kawasan berhampiran.
“Polis turut mendapati suspek masuk ke negara ini secara haram dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Suspek terbabit terus ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut, manakala kes pula disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X