KOTA KINABALU: Seramai 8,472 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi program pemindahan tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah setakat hari ini.
Daripada jumlah itu, warga Filipina mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 6,165 orang, diikuti Indonesia (1,959), Pakistan (143), China (142), Vietnam (29) dan 34 lagi membabitkan warganegara lain.
Terbaharu, seramai 63 tahanan warga Indonesia dihantar pulang hari ini dari Depot Imigresen Sandakan melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan feri komersial.
JIM Sabah dalam kenyataan memaklumkan, pemindahan itu membabitkan 59 lelaki dewasa, tiga wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.
Katanya, empat lagi tahanan lelaki warga Pakistan dari Depot Imigresen Papar turut dihantar pulang semalam menggunakan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan perjalanan ke Lahore, Pakistan.
“Sepanjang minggu ini, sebanyak empat program pemindahan tahanan dilaksanakan termasuk operasi berskala besar membabitkan warga Filipina dan Indonesia, semalam.
“Secara keseluruhan, seramai 976 tahanan warga asing berjaya dihantar pulang ke negara asal masing-masing sepanjang minggu ini,” menurut kenyataan itu.
JIM Sabah memaklumkan, semua tahanan terbabit sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan sah termasuk Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP).
Dalam pada itu, JIM Sabah mengingatkan majikan supaya tidak menggaji atau melindungi pekerja asing yang tidak mempunyai permit dan dokumen perjalanan sah.
Katanya, majikan disaran menyertai program pendataan digital warga asing yang sedang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan keberadaan pekerja asing, khususnya dalam sektor perladangan, dapat direkod dan dipantau dengan lebih sistematik.
“Inisiatif ini dijangka membantu menangani isu dokumentasi pekerja asing selain mengurangkan lambakan PATI di Sabah.
“JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan yang didapati melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah,” menurut kenyataan itu.
Tegasnya, majikan yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan tertakluk kepada peruntukan kesalahan berkaitan.
JIM Sabah turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan undang-undang imigresen dipatuhi serta membendung kemasukan dan keberadaan PATI di negeri ini.-Info X