KOTA KINABALU: Seramai 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini, semalam.
Operasi yang dilaksanakan hasil maklumat dan aduan awam itu menyasarkan kawasan yang dipercayai menjadi tumpuan warga asing tanpa dokumen sah.
JIM Sabah dalam kenyataan berkata, operasi berkenaan dijalankan pada 10 Jun lalu membabitkan seramai 24 pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Sabah.
Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap 125 individu, seramai 86 orang ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua yang ditahan terdiri daripada warganegara Filipina dan Indonesia.
“Hasil siasatan awal mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, semua tahanan kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM Sabah menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi mengesan dan menahan PATI di seluruh negeri ini.

Katanya, tindakan tegas turut akan diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang didapati melindungi atau menggaji PATI.
“Tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen, khususnya yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
“Orang ramai juga diseru menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin bagi membantu usaha penguatkuasaan yang dijalankan,” katanya. – Info X