PENAMPANG: Seorang lelaki ditemukan maut berhampiran lobi sebuah kondominium di Jalan Bundusan, di sini selepas dipercayai terjatuh dari unit kediaman di tingkat 26 bangunan berkenaan, petang tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa warga tempatan berusia 34 tahun ditemukan terbaring di atas jalan dalam keadaan parah sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum menjalankan siasatan di lokasi.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari sebuah unit kediaman di tingkat 26 kondominium berkenaan.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang bersama pasukan Forensik D10, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah dikesan yang boleh dikaitkan dengan kejadian ini,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
“Kami juga meminta orang ramai menghentikan penyebaran gambar atau video kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga dan waris mangsa,” katanya.
Terdahulu, beberapa rakaman video kejadian itu tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.
Berdasarkan rakaman yang dikongsikan kepada Info X, mangsa dilihat terbaring berhampiran lobi kondominium dalam keadaan mengalami kecederaan parah dipercayai akibat impak kejatuhan. – Info X