Search

PM ke Sipitang dan KK esok

June 12, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi melakukan lawatan kerja sehari ke Sabah esok (Sabtu) selepas lawatan kerja sempena sambutan Kaamatan pada 31 Mei lalu.

Kali ini, jadual beliau agak padat dengan empat program dijadual dihadirinya bermula di Sipitang pada pagi, disusuli tiga program di ibu negeri pada petang dan malam.

Perdana Menteri dijadual terus ke Sipitang dengan menaiki helikopter setibanya di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menggunakan pesawat khas pada kira-kira jam 10 pagi dari Kuala Lumpur.

Di Sipitang, Anwar dijadual memyempurnakan Majlis Peluncuran Projek Sabah Southern Madani Link di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah yang dijadual bermula jam 11 pagi.

Pelancaran projek meningkatkan bekalan elektrik Sabah itu turut dijadual dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Saadiah Aziz turut dijadual hadir.

Selesai majlis di Sipitang, Perdana Menteri dijadual kembali ke ibu negeri dengan menaiki helikopter dan dijangka tiba di Terminal 2 KKIA pada jam 1.20 tengah hari.

Beliau kemudian dijadual menghadiri Program Melangkah Bersama MADANI: Wanita Beriman, Wanita Bertahan Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada jam 2.30 petang.

Setelah itu, Anwar seterusnya bergerak ke Kompleks Sukan Likas bagi merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 pada jam 4 petang.

Pada sebelah malam pula, Perdana Menteri dijadual menghadiri Majlis Santapan Malam Bersama TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu yang bermula jam 7.30 malam.

Program itu mengakhiri lawatan seharinya ke Sabah sebelum pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat khas dari Terminal 2 KKIA pada jam 9 malam. – Info X