KOTA KINABALU: Tiga individu mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan terbabit dalam urusan barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah, iaitu diesel, ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Khamis.
Bagi kes pertama, tertuduh, Dickson Yii Hung Tie, 30, didenda RM30,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 3 Kota Kinabalu, Zaini Fishir @ Fisal.
Tertuduh bagaimanapun membayar denda yang dikenakan.
Di mahkamah berasingan, Yii Hung sekali lagi mengaku bersalah bersama seorang lagi tertuduh, Abdul Rahman Muluk, 35 di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 4 Kota Kinabalu, Marlina Ibrahim.
Hakim menjatuhkan hukuman denda RM8,000 setiap seorang atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda, namun kedua-dua tertuduh membayar denda yang dikenakan.
Dalam kes ketiga, seorang lagi tertuduh Aznan Abd Rahim, 41, didenda RM3,000 atau penjara empat minggu jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang sama.
Tertuduh turut membayar denda yang diperintahkan mahkamah.
Secara keseluruhannya, jumlah denda yang dikenakan mahkamah ialah sebanyak RM49,000.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan diesel yang terlibat dijadikan hasil Kerajaan Malaysia, manakala kenderaan yang digunakan dalam pelakuan kesalahan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk pelucutan hak.
Pendakwaan bagi ketiga-tiga kes dikendalikan PPP TK Gunasegaran A/L Krishnan dan PMP TK Malai Rosidi Malai Muhamad, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin, dalam satu kenyataan berkata ketiga-tiga kes berkenaan adalah sabitan pertama di mahkamah hasil tindakan penguatkuasaan menerusi OPS TIRIS 4.0 Bersepadu di negeri ini.
Kejayaan itu, katanya membuktikan komitmen KPDN Sabah dalam membanteras ketirisan dan penyelewengan diesel bersubsidi serta memastikan setiap kes yang mempunyai bukti dan keterangan mencukupi dibawa hingga ke peringkat pendakwaan dan sabitan di mahkamah. – Info X